TUARAN, SABAH – Lima pelajar lelaki dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu maut dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan RELA Tuaran pada kira-kira jam 2 petang tadi.
Kesemua mangsa yang berusia 20 tahun difahamkan dalam perjalanan menuju ke Kota Belud untuk aktiviti perkhemahan.
Mereka menaiki sebuah Toyota Wish sebelum kenderaan itu dikatakan hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan lalu bertembung dengan sebuah lori treler yang datang dari arah bertentangan.
Seorang rakan mangsa yang menaiki kenderaan lain di hadapan berkata mereka menyedari sesuatu tidak kena apabila SUV berkenaan gagal mengikut rapat.
“Kami berpatah balik dan ketika itu terlihat pemandangan yang amat mengerikan,” katanya.
Turut berada di lokasi ialah seorang pensyarah yang dikatakan bersama kumpulan pelajar berkenaan.
Pihak Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang sebelum menghantar sebuah jentera FRT dengan enam anggota dan sebuah EMRS dengan tiga anggota.
“Operasi terkawal pada jam 3.15 petang dan ditamatkan lima minit kemudian.
“Pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan lima mangsa dari kereta.
“Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya seorang pegawai jurucakap agensi dalam kenyataan.
Sementara itu, pemandu lori berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ini kali pertama saya terbabit dalam kemalangan sepanjang 30 tahun memandu lori.
“Saya merayu agar kenderaan kecil tidak mengekori rapat lori kerana wujud titik buta, dan jika berlaku kecemasan, kami tidak mampu membrek tepat pada waktunya,” nasihat beliau ketika ditemui di lokasi.
Polis kini dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden ini.






