PENAMPANG: Badan bukan kerajaan (NGO) baharu, Skuad Anak Sabah, dijangka dilancar secara rasmi di Stadium Kompleks Sukan Likas pada awal Oktober ini dengan sasaran keahlian mencecah 18,000 orang.
Timbalan Presiden II, Datuk Seri Norhaiza Abu Bakar berkata, sejak pendaftaran dibuka Ogos lalu, lebih 800 individu telah menyertai skuad berkenaan dan jumlah itu terus meningkat di semua daerah.
“Maklum balas amat menggalakkan, dengan kira-kira 70 peratus terdiri daripada golongan belia selain usahawan, wanita dan pemimpin masyarakat.
“Setakat ini, 73 bahagian telah diwujudkan di seluruh Sabah dan kami yakin sasaran 18,000 ahli mampu dicapai,” katanya pada mesyuarat agung pertama skuad itu di ITCC, di sini, Sabtu.
Norhaiza berkata, skuad tersebut akan memfokuskan kebajikan, semangat patriotisme, perpaduan etnik serta pemerkasaan ahli melalui pelbagai program termasuk inisiatif amal, sukarelawan bencana, bantuan komuniti, promosi perniagaan tempatan dan aktiviti kebudayaan.
Beliau turut menegaskan bahawa Skuad Anak Sabah tidak ditaja oleh mana-mana pihak politik dan terbuka kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira fahaman politik.
“Ini bukan platform politik. Kami mahu semua rakyat Sabah bersatu demi kebajikan dan masa depan negeri. Matlamat kami ialah memberi suara kepada rakyat serta menyatukan generasi,” katanya.
Majlis pelancaran rasmi skuad itu dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan bakal menjadi permulaan gerakan akar umbi baharu untuk mengukuhkan solidariti masyarakat di negeri ini.






