KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan yang merawat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan tiada kesan lebam atau tanda penderaan ditemui pada tubuh pelajar berusia 13 tahun itu, sebaliknya kecederaan yang dialami konsisten dengan impak kuat akibat jatuhan.
Dalam kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini, Dr. Janefer Voo, pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE, memaklumkan beliau menerima pesakit kira-kira jam 4.38 pagi pada 16 Julai 2025 selepas mangsa ditemui di tingkat bawah asrama sekolah.
Hasil pemeriksaan mendapati Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan serius, termasuk luka berdarah serta bengkak di bahagian belakang kepala, patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka pada buku lali kiri dan patah tulang tertutup pada buku lali kanan.
Susulan itu, pasukan perubatan mengaktifkan kod “Trauma Alert” bagi rujukan segera kepada pasukan pakar Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi, di samping melakukan resusitasi kecemasan.
Dr. Janefer turut menjelaskan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan otak teruk (severe traumatic brain injury) dengan pendarahan dalaman.
Selain itu mangsa turut alami patah tulang belakang lumbar 2, 3 dan 4, patah tulang terbuka pada buku lali kiri dan tumit kiri, patah tulang tertutup pada tangan kiri dan kaki kanan serta darah beku pada bahagian pinggul serta otot psoas kiri.
Beliau menambah, tekanan darah Zara yang sangat rendah dipercayai berpunca daripada pendarahan dalaman akibat impak tinggi, bukannya akibat sebarang bentuk penderaan.






