PAPAR: Prosiding inkues menerusi locus in quo kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina, diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Limauan Papar hari ini dengan penggunaan dua patung simulasi bagi meneliti kemungkinan impak jatuhan dari tingkat tiga bangunan asrama.
Peguam bela salah seorang pesalah kanak-kanak, Datuk Ram Singh, memaklumkan bahawa forensik menggunakan dua patung berbeza, termasuk satu patung baharu yang dipasang dengan bekas air bagi mencapai berat 53 kilogram dan menyerupai fizikal mangsa.
Patung terdahulu turut digunakan semula selepas ditambah pemberat batu bata.
“Demonstrasi dilakukan untuk menilai impak jatuhan, dengan percubaan termasuk tolakan dan tanpa tolakan. Hasilnya menunjukkan kecederaan di bahagian kepala adalah konsisten dengan gambar rujukan dalam siasatan,” katanya ketika ditemui media selepas hadir sesi itu pada pagi tadi.
Ram Singh menjelaskan patung yang digunakan sememangnya tidak menepati kepadatan tubuh manusia, namun ujian berkenaan memberi gambaran jelas bagaimana kesan impak berlaku di lantai simen berhampiran longkang.
Beliau turut mengesahkan terdapat telefon awam di asrama tersebut dan juga mesin basuh domestik dengan berat 7.5 kilogram berdekatan kawasan kejadian.
Inkues telah pun bersambung di Mahkamah Koroner dengan saksi pertama, iaitu pakar patologi Dr Jessie Hiu pada jam 3 petang bagi membolehkan peguam dan pihak berkaitan mengemukakan soalan lanjut hasil daripada simulasi tersebut.






