PAPAR: Dua beranak maut selepas tiga buah rumah dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Mook, Papar pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima melalui MERS999 pada jam 10.02 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama Unit Storm digerakkan ke lokasi sejauh 35 kilometer sebelum tiba pada jam 10.48 pagi.
Komander Operasi, PBK I Hamdani Harith berkata, dua mangsa yang tertimbus berjaya ditemui dan dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Operasi yang diketuai oleh Hamdani dengan bantuan Pegawai Operasi Kanan, PPgB Rozlan Osman serta pegawai kanan dari Ibu Pejabat JBPM Sabah iaitu PgKB II Mohd Alfian Salioh dan PKPgB Mohd Faizal Wahid, melibatkan kekuatan sembilan anggota serta sebuah jentera EMRS.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.25 petang selepas kawasan disahkan selamat.
JBPM memaklumkan pemantauan berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada risiko susulan.






