KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengadakan lawatan ke dua lokasi berasingan melibatkan kawasan tanah runtuh dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang.
Sekitar jam 4 petang, beliau meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu yang dipercayai berlaku akibat cuaca buruk sejak beberapa hari lalu.
Dalam lawatan itu, Hajiji menerima taklimat daripada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung keadaan cerun dan langkah-langkah keselamatan yang sedang dilaksanakan.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah.
Sementara itu, Hajiji turut melawat PPS Kampung Sarapung Kolopis, Penampang bagi meninjau keadaan mangsa banjir dan tanah runtuh yang dipindahkan.
Lawatan tersebut diiringi oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton bersama agensi keselamatan lain.
Kehadiran Ketua Menteri memberi suntikan semangat kepada mangsa yang ditempatkan di PPS, selain menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan, keselamatan dan keperluan mereka terus diberi perhatian.






