KUALA LUMPUR: PAS akan menghantar kepimpinan tertingginya menemui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan wujud kegiatan memindahkan pengundi secara besar-besaran di Kelantan.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, aktiviti itu dikesan dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun 1 yang dipamerkan baru-baru ini.
“Malangnya, kita dapati berlaku pemindahan pengundi besar-besaran, khususnya di beberapa tempat di Kelantan. Kita akan mengambil tindakan susulan untuk memastikan peraturan SPR dilaksana dengan sempurna.
“Kami juga meminta pihak parti di peringkat 195 kawasan kita untuk memberikan perhatian segera kepada senarai pemilih terbaru ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, hari ini.
Dalam pertemuan itu nanti, beliau berkata, PAS juga akan membangkitkan isu keputusan SPR tidak lagi mengedarkan RDPT kepada parti politik.
Semalam, Pakatan Harapan mempersoalkan keputusan SPR tidak lagi mengedarkan RDPT kepada parti politik.
Naib Pengerusi PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, parti politik perlu dibenarkan membeli salinan senarai pemilih pada harga munasabah.
“Juallah. Apa salahnya? Buat salinan dan jual. Kalau parti politik tiada peruntukan, tidak akan membelinya. Ini adalah kebebasan untuk parti politik membuat semakan. Itu adalah tanggungjawab parti politik dan perlu dihormati, ” kata bekas pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008 itu.
Pada 29 April lalu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pengarah pilihan raya negeri sudah diarahkan menghentikan pengedaran RDPT Suku Tahun kepada parti politik semasa Pameran RDPT.
Mengulas lanjut, Exco Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan menuding jari ke arah Umno Kelantan di sebalik pemindahan pengundi secara besar-besaran itu dengan mendakwa parti terbabit cuba merampas negeri itu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ini tindakan tidak bermoral dan SPR tidak berlaku adil,” kata adun Temangan itu yang mendakwa 700 “penyokong BN” dimasukkan ke rantau ini.
“Manakala sejumlah 1,100 pengundi dipindahkan ke DUN Bukit Panau (dipegang Exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood).
“Kita dapati pengundi yang dipindahkan ini adalah penyokong tegar Umno-BN. Sebelum ini, kita telah mengesan perkara ini (dalam senarai pemilih terdahulu), tetapi bukan dalam skala besar,” katanya.
– FMT