KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri sebagai langkah mengutamakan keselamatan rakyat berikutan bencana banjir besar yang melanda beberapa daerah di Sabah.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah dan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata, keputusan itu wajar kerana keselamatan rakyat adalah keutamaan pada waktu getir ini.
“Keputusan ini adalah satu langkah yang penuh tanggungjawab, kerana dalam saat getir sebegini, tumpuan utama kita semua adalah melindungi keselamatan nyawa, memastikan kesejahteraan komuniti dan membantu mangsa-mangsa yang sedang berdepan kesusahan.
“Sambutan boleh ditunda, tetapi nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh diganti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu hati, saling membantu serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang kini bertungkus-lumus bekerja siang dan malam.
“Setiap usaha kecil daripada kita, sama ada bantuan barangan asas, tenaga sukarela, atau doa sangat besar maknanya bagi mereka yang sedang menderita,” katanya.
Menurutnya, Hari Malaysia adalah simbol perpaduan dan dalam semangat itu, seluruh rakyat digesa menunjukkan solidariti bersama mangsa bencana, bukan sahaja dengan doa dan kata-kata semangat, tetapi juga melalui tindakan nyata yang meringankan beban mereka.
“Saya yakin, dengan kesatuan hati, ketabahan dan tindakan bersama, Sabah akan mampu bangkit kembali daripada dugaan ini.
“Inilah masa untuk kita membuktikan bahawa semangat rakyat Sabah bukan sekadar slogan, tetapi realiti hidup yang menzahirkan kasih sayang kita kepada negeri dan rakyatnya,” katanya.






