KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan dua vesel nelayan asing Vietnam (VNAV) kerana menceroboh perairan negara dan dipercayai menangkap hasil laut Malaysia di barat laut Pulau Straggler, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, seramai 11 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 48 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka ditahan bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6 juta,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua bot diiring ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat dalam perjalanan hampir 12 jam sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Hasbullah menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan nelayan asing yang menjejaskan sumber perikanan negara serta mendatangkan kerugian besar kepada komuniti nelayan tempatan.






