Marajoh Unding Letak Jawatan Presiden Parti Perjuangan Rakyat

Marajoh Unding Letak Jawatan Presiden Parti Perjuangan Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Parti Perjuangan Rakyat, Datuk Seri Marajoh Unding, hari ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi beliau, Marajoh berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan untuk memberi tumpuan penuh terhadap pengurusan serta pengembangan syarikat miliknya yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.

“Saya percaya parti-parti sedia ada sudah mencukupi untuk mewakili dan membela nasib rakyat Sabah.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat agar menggunakan kebijaksanaan dalam memilih, undilah parti yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dan berupaya membangunkan ekonomi negeri ke tahap lebih baik,” katanya.

Marajoh turut menitipkan pesanan kepada barisan pemimpin yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang supaya sentiasa mengutamakan amanah, keadilan dan kebajikan rakyat.

Beliau menegaskan fokus utama pemimpin seharusnya adalah pembangunan ekonomi, pendidikan generasi muda serta penyediaan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia.

Walaupun berundur daripada jawatan presiden, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif dalam arena politik pada masa hadapan sekiranya keadaan dan keperluan rakyat menuntutnya.

“Akhir kata, saya mendoakan agar Sabah terus maju, aman dan makmur di bawah kepimpinan baharu selepas Pilihan Raya Negeri nanti,” ujar beliau.