Inkues: Ibu Zara Tolak Bedah Siasat, Jenazah Diserah Terus Kepada Keluarga –...

Inkues: Ibu Zara Tolak Bedah Siasat, Jenazah Diserah Terus Kepada Keluarga – Doktor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Koroner Kota Kinabalu hari ini dimaklumkan bahawa ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraida Lamat, membuat keputusan untuk tidak membenarkan proses bedah siasat dilakukan terhadap jenazah anaknya selepas kematian Zara pada 17 Julai lalu.

Perkara itu dijelaskan oleh saksi, Dr. Logaraj Ratha, seorang pegawai perubatan yang kini mengikuti pengajian Sarjana Patologi Forensik di Universiti Malaya dan ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE). 

Beliau menyatakan, selepas menerima makluman tentang kematian Zara di Wad Neurosurgeri HQE, jenazah dibawa ke Jabatan Forensik untuk proses pendaftaran dan pengurusan.

Menurut Dr. Logaraj, pada peringkat awal, pihak polis melalui Pegawai Penyiasat Inspektor Wong Yew Zhung memaklumkan bahawa punca kematian Zara adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.

Pihak polis juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan borang Pol.61, iaitu borang permintaan pemeriksaan mayat, dan memberi kebenaran kepada hospital untuk menyerahkan jenazah kepada keluarga tanpa proses bedah siasat mediko-legal.

Dr. Logaraj berkata, beliau kemudian bertemu dengan Noraida serta seorang ahli keluarga, iaitu ipar kepada Noraida, Nur Shira Abdullah, untuk menerangkan kepentingan bedah siasat dan menegaskan bahawa ia masih boleh dijalankan sekiranya mendapat persetujuan waris.

Namun, selepas diberi penerangan, Puan Noraida memutuskan untuk menolak bedah siasat.

“Puan Noraida telah menandatangani Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri yang turut disaksikan oleh Puan Nur Shira. Saya menjelaskan kepada waris bahawa tanpa bedah siasat, laporan rasmi berhubung punca kematian tidak dapat dikeluarkan pada masa hadapan,” jelas Dr. Logaraj dalam keterangannya.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa selepas proses dokumentasi selesai, jenazah Zara diserahkan kepada waris mengikut prosedur dan polisi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.