Sabah Electricity Berduka Rakan Petugas Hanyut Dibawa Arus

Sabah Electricity Berduka Rakan Petugas Hanyut Dibawa Arus

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesatuan Jurutera-Jurutera (KJJ) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja (KPP) Sabah Electricity menzahirkan rasa dukacita atas insiden seorang petugas teknikal, Masedeh Rosmin, 30-an, yang hanyut dibawa arus deras ketika menjalankan tugas di Keningau, malam Selasa.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa di atas kehilangan ini dan pengorbanan beliau dalam melaksanakan amanah walaupun cuaca buruk wajar dihargai,” kata Yang Dipertua KJJ, Ir. Ts. Christina Chin.

Presiden KPP, Asle Abdulli, pula berkata seringkali dalam situasi gangguan bekalan berlaku, ramai menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pasukan teknikal Sabah Electricity kerana lambat memulihkan bekalan.

“Tetapi mereka tidak memahami, tugas mereka berhadapan dengan bahaya yang tidak dapat dijangka,” tegas beliau.

Mangsa dilaporkan hanyut ketika menyeberangi jambatan kecil Sungai Nuntunan, Apin-Apin menggunakan pacuan empat roda Sabah Electricity bersama dua rakan sekerja yang sempat diselamatkan.

Sabah Electricity dalam kenyataan menyifatkan kehilangan itu sebagai satu pengorbanan besar demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.