TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki mengugut isterinya menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Jalan Apas, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata insiden berlaku sekitar jam 1.30 pagi apabila suspek berusia 41 tahun tiba-tiba mengamuk sambil mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap isterinya.
Menurut beliau, suspek mendakwa kononnya terdapat individu yang mengintai rumah mereka dari luar lalu bertindak menyelak langsir ruang tamu.
Keadaan tegang itu memuncak apabila lelaki terbabit menjerit dan mengancam isterinya dengan ugutan mahu membunuh serta menetak menggunakan parang.
“Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 8 malam kelmarin di perkarangan IPD Tawau. Turut dirampas sebilah parang, seutas kunci kereta serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
ACP Jasmin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah sebelum ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengawal emosi dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga mengancam keselamatan ahli keluarga sendiri.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan atau tindakan ganas. Orang ramai yang menghadapi tekanan dinasihatkan segera mendapatkan bantuan sewajarnya bagi mengelakkan tragedi tidak diingini,” tegasnya.






