Hubungan Konstruktif dengan Wartawan Strategi Komunikasi UMNO Sabah – Bung Moktar

Hubungan Konstruktif dengan Wartawan Strategi Komunikasi UMNO Sabah – Bung Moktar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa hubungan konstruktif dengan pengamal media merupakan sebahagian penting strategi komunikasi UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Beliau berkata, media berperanan sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kepimpinan politik, sekali gus memastikan maklumat yang tepat dan seimbang sampai kepada masyarakat.

“Dalam era politik baharu, suara rakyat tidak hanya terbentuk di dewan parlimen atau pentas ceramah, tetapi juga melalui wacana media.

“Hubungan konstruktif dengan wartawan adalah sebahagian penting daripada strategi komunikasi UMNO Sabah bagi memastikan maklumat yang tepat dan seimbang sampai kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis makan malam mesra bersama Sabah Journalists Association (SJA) dan pengamal media di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang menekankan bahawa media bukan sahaja penyampai berita, tetapi juga agen wacana demokratik.

“Keupayaan kita untuk berkomunikasi dengan jelas dan beretika akan menentukan sama ada politik difahami sebagai penyelesaian, atau sekadar dilihat sebagai retorik. Justeru, kerjasama UMNO dengan media bukan soal kepentingan partisan, tetapi usaha memperkukuh literasi politik rakyat,” ujarnya.

Majlis makan malam tersebut dilihat sebagai platform dialog terbuka yang mempertemukan perspektif politik dengan tanggungjawab profesional media, seiring dengan keperluan komunikasi politik moden yang berteraskan keterbukaan, kebertanggungjawaban dan keberkesanan.