Oleh: Ahmad Fazlan Shah bin Abd Rahman
PENAMPANG, 21 September – Mahasiswa Sabah hari ini menegaskan komitmen untuk berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan mengambil peranan sebagai nadi utama pembangunan dan pemacu dasar yang lebih inklusif.
Wakil mahasiswa, Mohd Azhari Afirul, berkata generasi muda tidak harus hanya dilihat sebagai pewaris masa depan, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai tunjang penting dalam mencorakkan pembangunan negeri melalui ilmu, kemahiran dan kepimpinan.
“Generasi muda bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi adalah tunjang utama, nadi yang paling segar, dan kekuatan polisi yang akan membentuk wajah pembangunan negeri. Dengan tekad yang ada, kami ingin terus berganding bahu bersama kerajaan dalam merealisasikan visi Sabah Maju Jaya yang sudah terpahat dalam jata negeri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran konvensyen tersebut memberi peluang luas kepada mahasiswa untuk menyuarakan aspirasi, cadangan dan pandangan bernas agar dapat dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada dasar negeri.
Konvensyen yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu turut menyaksikan lapan orang pembahas membentangkan idea meliputi bidang ekonomi, keusahawanan belia, infrastruktur, kesejahteraan sosial, kebajikan, pendidikan, budaya serta sains dan teknologi.
Menurut Mohamad, penglibatan mahasiswa dalam wacana sedemikian membuktikan bahawa golongan muda Sabah bukan sahaja peka terhadap isu semasa, malah bersedia mengemukakan pemikiran kritis serta cadangan realistik demi masa depan negeri.
“Mahasiswa adalah suara masa kini dan masa depan, pewaris negeri ini yang akan menggerakkan perubahan serta menyumbang kepada penggubalan polisi yang lebih inklusif dan sejahtera. Platform seperti Konvensyen Mahasiswa Sabah jelas menunjukkan belia bukan sekadar pemerhati, tetapi pemikir, pengkritik yang membina, dan rakan strategik kerajaan,” katanya.
Beliau menambah, konvensyen ini wajar dijadikan titik tolak perpaduan mahasiswa Sabah dalam memainkan peranan lebih besar sebagai pemimpin masa kini dan masa depan.
“Semoga segala idea, aspirasi, cadangan dan harapan yang dibentangkan hari ini menjadi sumber inspirasi dalam membina Sabah yang lebih maju, inklusif dan makmur,” katanya.






