Oleh: Ahmad Fazlan Shah bin Abd Rahman
PENAMPANG, 21 September – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi amat penting dalam menentukan kesinambungan pembangunan serta masa depan negeri.
Hajiji berkata kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan serta pengurusan hasil negeri.
“Kerajaan GRS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, khususnya golongan muda. PRN ini merupakan peluang keemasan bagi kita untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat, dan, yang paling penting, kerajaan yang didominasi oleh parti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association KDCA, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif serta wakil mahasiswa negeri Sabah.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak mengulangi kesilapan lalu dengan memilih parti yang akhirnya menjejaskan pembangunan negeri.
Menurutnya, dasar yang lemah dan tidak terancang sebelum ini menyebabkan banyak projek terbengkalai serta menjejaskan kemajuan Sabah.
“Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah – khususnya 970,000 pengundi muda – akan membuat pilihan yang bijak. Masa depan Sabah terletak di tangan anda. Janganlah kita sia-siakan peluang ini,” ujar Hajiji.
Beliau menegaskan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri maju dan berjaya sekiranya rakyat bersama-sama memastikan kesinambungan pembangunan sedia ada.
“Inilah masanya, inilah ketikanya. Marilah kita bersama-sama menjadikan Sabah lebih maju dan berjaya,” katanya lagi.
Terdahulu, kerajaan negeri berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan melibatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pinjaman Yayasan Sabah bagi meringankan beban hutang pelajar.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 peminjam selain membuktikan kesungguhan kerajaan GRS untuk memastikan lebih ramai anak Sabah dibantu.






