KOTA KINABALU: Ahli Dewan Negara, Datuk Nelson W. Angang menegaskan bahawa kesamarataan hanya dapat dicapai jika Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati sepenuhnya, termasuk dalam soal peruntukan kerusi Parlimen.
Beliau menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar yang berpendapat bahawa kerusi Parlimen tidak sepatutnya berpandukan MA63.
“Malaysia wujud hasil MA63 yang turut merangkumi laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak hanya boleh dilindungi dengan formula asal pembahagian kerusi Parlimen yang tidak membolehkan satu wilayah memiliki kelebihan dua pertiga,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nelson, pindaan Perlembagaan pada 1965 selepas Singapura keluar daripada Malaysia telah memberi lebih banyak kerusi kepada Tanah Melayu, sekali gus menjejaskan semangat asal pembahagian kerusi ketika negara dibentuk.
Beliau juga mempersoalkan justifikasi bahawa bilangan pengundi mesti “lebih kurang sama” kerana realiti hari ini menunjukkan ketidakseimbangan ketara, antaranya Parlimen Banggi dengan 311,499 pengundi berbanding Lenggong dengan hanya 36,950 pengundi.
“Adalah tidak adil untuk menolak formula asal MA63 sedangkan ketidakseimbangan besar jumlah pengundi masih wujud. Harapan saya, pandangan ini hanya bersifat peribadi dan bukan pendirian rasmi SPR,” katanya.
Nelson menegaskan, SPR yang wujud hasil MA63 seharusnya lebih memahami sejarah pembentukan Malaysia dan memainkan peranan menghormati semangat perjanjian tersebut.






