Warga Filipina Ditahan Susulan Pembunuhan Lelaki Pakistan di Keningau

Warga Filipina Ditahan Susulan Pembunuhan Lelaki Pakistan di Keningau

0
SHARE

KENINGAU: Seorang lelaki warga Filipina berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas mayat seorang lelaki Pakistan dipercayai dibunuh ditemui ditanam di Kampung Kitung, Jalan Keningau, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai, berkata suspek ditahan di Kampung Sayur, Jalan Durok, sekitar jam 9 malam oleh pasukan JSJ IPD Keningau dan JSJ IPK Sabah.

“Permohonan reman sudah dibuat di hadapan Majistret Flavian Edward Henry yang menetapkan reman selama tujuh hari terhadap suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mangsa, seorang peniaga berusia 30 tahun, dipercayai dibunuh pada 20 September lalu dan mayatnya ditemui kira-kira 100 meter dari rumah suspek, yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan tinggal bersama tiga anak.

Penemuan mayat itu hasil laporan polis rakan mangsa pada 22 September.