BERSATU Akan Dapatkan Penjelasan PM Berhubung MoU Kerajaan Persekutuan-PH

BERSATU Akan Dapatkan Penjelasan PM Berhubung MoU Kerajaan Persekutuan-PH

0
SHARE

SEPANG – Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata dalam pertemuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan Ismail Sabri minggu lepas, perkara itu ada dibincangkan dan dimaklumkan tiada apa-apa perundingan perlu dibuat berhubung MoU tersebut.

“Jadi saya setuju dengan pendirian itu tetapi hari ini, ada keputusan yang agak berbeza…

“Kita akan dapatkan penjelasan adakah dia (Ismail Sabri) nak berhenti atau lanjut lagi… wallahualam,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini susulan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lepas.

Beliau mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam bahawa MoU itu tidak akan diteruskan selepas tamat pada 31 Julai ini.

Pada 13 Sept 2021, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh Perdana Menteri dan pemimpin parti dalam PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kerajaan Persekutuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) pada 13 Sept 2021 yang lalu di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia…

MoU itu merangkumi ENAM (6) perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 serta Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen. Turut hadir, (dari kiri) Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng…

Ismail Sabri hari ini dilaporkan berkata beliau akan akur dengan keputusan itu kerana sebagai Naib Presiden UMNO, beliau tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh MT parti berkenaan.
Ditanya mengenai MT UMNO yang sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Muhyiddin berkata perkara itu adalah soal parti berkenaan dan PN tidak mengambil pendirian serupa.

– BERNAMA