BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 158 cedera penduduk Palestion dan enam parah setakat ini akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor Sputnik.
Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.
Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.
Sumber Palestin berkata, polis Israel menutup semua pintu masjid menghalang anggota Bulan Sabit Merah daripada masuk dan menghalang ketibaan ambulans untuk mengangkut mangsa yang cedera dari dalam pekarangan masjid ke hospital.
Polis juga didakwa menyasarkan pengawal Masjid Al-Aqsa, pihak media, kakitangan perubatan dan anggota Bulan Sabit Merah dengan peluru getah dan dengan sengaja memukul mereka dengan belantan.

Insiden berkenaan berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu lalu, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.





