KOTA KINABALU: Kisah dua pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencuri perhatian apabila mereka menjadikan pengorbanan insan tersayang sebagai sumber inspirasi untuk melangkah ke menara gading.
Ikhwan Al Muntadzir Abdul Muldjamil, 19, pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), lahir dengan masalah kesihatan dan perlu menjalani pembedahan kolostomi sejurus selepas dilahirkan.
Sejak kecil, beliau berulang-alik menjalani rawatan tetapi tetap cekal menanam cita-cita untuk menjadi doktor.
“Kalau bukan kerana usaha doktor sejak saya lahir, mungkin saya tidak ada di sini hari ini.
“Saya mahu tamat pengajian dan membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya selepas Majlis Lafaz Ikrar Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026.
Bagi Michael Lovinon Moosom, 19, pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) yang juga mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, pengorbanan ibunya yang membesarkan mereka sendirian lebih 10 tahun menjadi kekuatan untuk terus berjaya.
“Ibu bekerja keras memastikan kami cukup makan, ada tempat tinggal dan mendapat pendidikan. Status OKU bukan halangan, sebaliknya cabaran untuk saya lebih berdikari,” katanya.
Michael turut berterima kasih atas sokongan UMS terhadap pelajar berkeperluan khas, selain sokongan rakan-rakan dan pensyarah.
Beliau merupakan antara 11 pelajar OKU yang ditawarkan tempat di UMS pada sesi ini.
Kedua-dua pelajar itu sepakat bahawa keterbatasan bukan alasan untuk berundur, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk menabur bakti kepada masyarakat pada masa hadapan.






