KOTA KINABALU, 3 Okt – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan bahawa gabungan itu bakal tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang seperti yang digambarkan dalam satu laporan yang tular baru-baru ini.
Laporan berkenaan, yang menggunakan nama The Asian International and Political School (AIPS), Singapore, didakwa kononnya menyenaraikan 20 sebab utama kelemahan GRS. Namun, Ketua Bahagian GRS N64 Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang menegaskan bahawa dokumen itu adalah palsu dan berniat jahat.
“Saya menegaskan dengan penuh tanggungjawab bahawa laporan tersebut adalah tidak benar, tidak sahih dan mengelirukan rakyat. Nama institusi yang digunakan itu sebenarnya tidak wujud di Singapura dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kajian berkaitan politik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abdul Hajan menjelaskan, tuduhan bahawa GRS rapuh kerana perpecahan dalaman atau isu lompat parti sudah tidak lagi relevan. Katanya, pelaksanaan undang-undang anti-lompat telah memberi jaminan kepada kestabilan politik Sabah.
“Dakwaan bahawa GRS gagal dalam urusan pembahagian kerusi atau kerjasama dengan parti lain juga tidak tepat kerana setiap rundingan dibuat secara matang dan berpandukan semangat kebersamaan demi kepentingan negeri,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan adalah pendekatan strategik dan pragmatik, bukan tanda tunduk. Malah, GRS konsisten memperjuangkan isu hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil cukai dalam rundingan rasmi dengan pusat.
“Kerjasama dengan pusat memastikan peruntukan besar dapat disalurkan untuk pembangunan negeri. Dalam isu hak Sabah, GRS lebih konsisten berbanding kerajaan-kerajaan terdahulu yang hanya menjadikannya bahan politik,” jelas beliau.
Mengulas dakwaan kegagalan menyediakan infrastruktur asas, Abdul Hajan menegaskan pelbagai projek besar telah dilaksanakan sejak GRS memerintah, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Loji Air Telibong II, projek elektrifikasi luar bandar serta program telekomunikasi di kawasan pedalaman.
Selain itu, Pelan Sabah Maju Jaya turut memberi fokus kepada pembangunan pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan belia dan kebajikan rakyat.
GRS, katanya, juga komited menangani isu alam sekitar dan tanah adat. Kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu tanah adat (NCR), di samping memperketatkan pemantauan aktiviti pembalakan.
“Tuduhan bahawa GRS tidak ambil peduli tentang hal ini adalah cubaan menutup mata terhadap usaha nyata yang sedang berjalan,” katanya.
Dalam kenyataannya, Abdul Hajan turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan permainan politik persepsi yang cuba menonjolkan gambaran negatif terhadap GRS.
“Rakyat boleh melihat sendiri pencapaian kerajaan di lapangan – sama ada dari sudut pembangunan, kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi mahupun kestabilan politik. Politik fitnah dan manipulasi maklumat tidak membawa manfaat,” katanya lagi.
Beliau yakin rakyat Sabah masih bersama GRS dan akan terus memberikan mandat pada PRN akan datang demi memastikan negeri ini terus maju, stabil dan sejahtera.





