BONGAWAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sejajar peranan Kuala Lumpur dalam pentadbiran negara.
“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana mereka mentadbir negara. Negara ini negara kita. Walau apa pun, kita pertahankan hak negeri, namun kita harus mempertahankan juga negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan, di Dewan Serbaguna Bongawan pada Isnin.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kira-kira setengah juta anak Sabah telah menerima manfaat dalam bentuk pendidikan melalui peruntukan berjumlah RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun setengah pemerintahan kerajaan negeri.
Beliau berkata, jumlah peruntukan biasiswa yang diluluskan juga meningkat daripada RM40-RM50 juta setahun sebelum ini, kepada RM145 juta ketika ini, hasil peningkatan kutipan hasil negeri daripada RM4-RM5 bilion kepada RM7.5 bilion setahun.
Hajiji turut membidas dakwaan pembangkang yang mendakwa kerajaan hanya mengumumkan tetapi rakyat tidak merasai hasilnya.
“Memanglah mereka tidak rasa kerana manfaat itu hanya dirasai rakyat. Walaupun tidak semua dapat dibantu, tetapi kita bantu paling ramai,” katanya.
Dalam majlis sama, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman sebagai calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada PRU Sabah ke-17. Hajiji yakin dengan gabungan kekuatan jentera serta sokongan rakyat, Bongawan dapat kembali dimenangi GRS.
Beliau menegaskan pentingnya kestabilan politik di Sabah dan menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah, retorik serta fitnah pembangkang.
Katanya, jika GRS kembali membentuk kerajaan selepas PRU Sabah pada 29 November, kerajaan negeri akan merancang lebih banyak program ekonomi untuk manfaat rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.






