KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Jordan Jude Ellron, hari ini mengumumkan perletakan jawatan serta-merta daripada semua jawatan dalam parti termasuk Ketua Bahagian STAR Nabawan, sekaligus menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.
Dalam kenyataannya hari ini, Jordan berkata keputusan itu dibuat atas prinsip dan kekecewaan terhadap parti selepas tiada satu pun kerusi diberikan kepada barisan Exco Wiramuda STAR Sabah untuk bertanding dalam pilihan raya kali ini.
“Tiada satu pun anak muda diberi peluang. Semua kerusi hanya diberi kepada pejuang lama. Maka secara prinsip, saya letak jawatan kerana tidak lagi melihat fungsi sebagai Ketua Exco Wiramuda,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan sebelum ini mengumumkan secara terbuka pencalonannya di Tulid pada bulan Oktober, malah perkara itu turut disahkan oleh Mesyuarat Biro Politik parti yang dianggotai lapan pimpinan tertinggi, namun katanya, keputusan itu tidak ditunaikan.
Jordan berkata, beliau telah membuat persiapan lebih awal dengan membeli bahan kempen dan membayar deposit pencalonan, namun kini mengikhlaskan semua bahan kempen itu sebagai sumbangan kepada calon-calon STAR yang lain.
“Belum tentu orang lain sanggup buat begitu, tapi saya ikhlaskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa janji Presiden STAR untuk memberi 30 peratus kuota calon muda tidak dilaksanakan, malah beberapa pemimpin muda lain termasuk Timbalan Exco Wiramuda STAR, Razidin Robert, turut mengalami nasib yang sama selepas diumumkan dua kali sebagai calon di Bingkor tetapi akhirnya digugurkan.
Dalam masa sama, Jordan mengakui kecewa dengan sikap segelintir pemimpin parti yang disifatkannya “toxic” dan suka memecah-belahkan generasi muda.
“Ada yang melabel saya dan timbalan saya sebagai pengkhianat, walaupun saya setia kepada Presiden. Namun langkah menghantar saya bertanding di Sook melawan ayah saya sendiri, Datuk Ellron Angin, saya anggap misi bunuh diri,” ujarnya.
Beliau turut menolak saranan supaya bersabar menunggu peluang bertanding pada peringkat Parlimen, menyatakan bahawa beliau telah banyak bekerja dan berkhidmat di kawasan sekitar Parlimen Pensiangan.
“Apa perasaan kalau saya yang tanam benih, tapi orang lain yang menuai? Sudah tiba masa saya turun gelanggang,” katanya.
Jordan sekali lagi menegaskan bahawa keputusan meletak jawatan dibuat bukan kerana kecewa semata-mata, tetapi sebagai pengorbanan agar kepimpinan parti membuka mata terhadap nasib generasi muda.
“Biarlah ia berlaku pada saya, tetapi jangan berulang kepada generasi selepas saya,” tegasnya.






