KOTA KINABALU: Sabah FC kini menjadi pasukan pertama di negeri ini yang menawarkan rawatan hyperbaric kepada para pemainnya selepas menandatangani kerjasama rasmi dengan European Wellness Premier Centre (EWPC) sebagai rakan rehabilitasi sukan di Alamesra.
Pengerusi EWPC, Datuk Seri Dr Mike Chan, yang pernah terlibat merawat pemain Arsenal pada era 1980an serta kelab Valencia, berkata teknologi itu sudah lama digunakan oleh atlet antarabangsa termasuk Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
“Umur beraksi pemain bola ini pendek, kecuali penjaga gol yang boleh tahan lama sedikit. Ronaldo masih cergas sebab tidur dalam kabin hyperbaric setiap hari, begitu juga Messi.
“Sabah pun sudah sampai masa untuk naik taraf,” katanya sambil menyatakan beliau yang berasal dari Semenanjung dan berkahwin dengan wanita Sabah mahu membawa teknologi itu masuk sebagai pelopor di negeri ini.

Menurutnya, hyperbaric membantu meningkatkan oksigen dalam sel, memperkuat fungsi jantung dan paru-paru serta meningkatkan daya tahan pemain.
“Dari sudut kejurulatihan teknikal, jurulatih Sabah memang sudah buat terbaik. Tapi potensi pemain boleh ditolak lebih jauh lagi.
“Kami ada peralatan yang tiada di Amerika Syarikat sekalipun. Dengan sokongan daripada kerajaan negeri, Sabah boleh jadi tumpuan dunia,” katanya.
Beliau berkata, dua unit baharu sudah berada dalam stor di Kota Kinabalu dan dijangka beroperasi dalam tempoh tiga bulan manakala empat kapsul lain sudah tersedia untuk digunakan.
“Sabah satu-satunya negeri yang akan ada banyak kabin hyperbaric. Kami juga ada mesin rawatan emosi untuk pesakit psikiatri. Dengan teknologi dan sokongan tempatan, saya mahu lihat Sabah menang tanpa kompromi,” katanya.

Pengurus Besar Sabah FC, Joh Wid, berkata pertemuan ringkas pada April lalu bersama Mike terus membawa kepada persetujuan kerjasama.
“Prestasi pemain merudum bila kecederaan dan tempoh pemulihan panjang.
“Dengan teknologi ini, proses boleh dipendekkan dan pemain dapat kembali beraksi lebih cepat.
“Kelab pula tidak ada bajet untuk kemudahan begini, tapi menerusi kerjasama ini wujud harga yang berbaloi. Perjanjian ini mengesahkan usaha kami untuk jadi pasukan terbaik,” katanya.
Ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny, berkata penggunaan chamber itu mula menunjukkan hasil dalam prestasi pemain.
“Kami nampak peningkatan kelajuan dan ketahanan. Dua minggu lalu, tak ada seorang pun kena cramp, sesuatu yang jarang berlaku pada standard Asia kecuali Jepun.
“Dalam aksi menentang Selangor baru-baru ini, ada pemain capai jarak 11 kilometer larian di padang. Tapi paling penting ialah aspek mental selepas perlawanan,” katanya.
Sabah seri 2-2 menentang Selangor dalam aksi pertama Piala FA Malaysia pada 9 November di Stadium Likas. Aksi timbal balik akan berlangsung pada 30 November di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Jean-Paul menegur sedikit disiplin taktikal pemainnya.
“Perlawanan dengan Selangor itu antara terbaik kami, tapi sayang ada masa pemain hilang fokus dan berhenti buat apa yang dirancang. Itu satu bentuk tidak menghormati lawan,” jelasnya.






