KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa sektor ekonomi kreatif akan menjadi antara fokus utama kementerian yang diterajuinya, sejajar dengan mandat baharu yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah.
Nizam berkata penambahan portfolio Ekonomi Kreatif dalam kementerian membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk membuka ruang baharu kepada golongan belia, khususnya mereka yang mempunyai bakat seni dan kemahiran kreatif.
Menurut beliau, ramai anak muda Sabah mempunyai bakat dalam bidang seperti reka bentuk, muzik, seni visual, puisi, animasi dan penciptaan kandungan digital – namun masih belum mendapat sokongan sistematik untuk menjadikan bakat itu sebagai sumber pendapatan.

“Kita mahu kemahiran yang mereka ada menjadi ‘value added’ yang mampu memberi pulangan ekonomi kepada mereka. Kementerian akan menjadi pemangkin supaya bakat ini berkembang dan menjadi kerjaya yang stabil,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas melapor diri tugas di kementerian di sini hari ini.
Nizam berkata latihan kemahiran akan diperkasakan sebagai agenda utama, termasuk program pembangunan kreatif yang membantu belia menyesuaikan diri dengan permintaan industri semasa.
Beliau menegaskan bahawa sektor kreatif bukan lagi bersifat sampingan, tetapi kini menjadi sebahagian daripada ekonomi moden yang mampu mencipta peluang pekerjaan baharu.
Beliau juga mahu mewujudkan ekosistem kreatif yang menyeluruh — menghubungkan bakat muda dengan platform, mentor, pasaran dan sokongan industri.
“Inilah masa untuk ekonomi kreatif menjadi salah satu penyumbang penting kepada ekonomi Sabah,” katanya.
Fokus ekonomi kreatif ini turut menyokong teras Pelan Pembangunan SMJ 2.0 (2026–2030), yang menekankan pembangunan modal insan dan peningkatan pendapatan rakyat melalui sektor berimpak tinggi.

Terdahulu, Nizam menghadiri mesyuarat Kabinet pertamanya sebelum melapor diri di kementerian dan beramah mesra dengan kakitangan.
Dengan tumpuan baharu terhadap ekonomi kreatif, Nizam optimis kementeriannya dapat membuka lebih banyak ruang pembangunan kepada belia dan menjadikan sektor kreatif sebagai pemacu pertumbuhan baharu Sabah.






