KOTA KINABALU: Konsep ‘kebun dapur’ bakal diperkenalkan di seluruh Sabah sebagai salah satu inisiatif memperkasa keterjaminan makanan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, melalui program itu rakyat digalakkan bercucuk tanam di kawasan sekitar rumah masing-masing termasuk menanam tanaman bernilai tinggi seperti durian, avokado dan nangka madu J33, selain tanaman keperluan dapur.
“Saya melihat kebun dapur sebagai satu pendekatan merakyatkan kementerian kepada rakyat. Jika dilaksanakan secara meluas, kita bukan sahaja dapat menyediakan bekalan makanan sendiri, malah berpotensi menjadi pengeluar buah-buahan besar di Sabah,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya, di sini, selepas sesi ‘clock in’ hari pertama memulakan tugas rasmi, pada Rabu.
Jamawi berkata, konsep itu turut akan diperluas kepada penternakan berskala kecil seperti ikan tilapia, ayam telur dan kambing bagi membantu keluarga menjimatkan kos sara hidup serta mewujudkan aktiviti kekeluargaan yang sihat.
“Saya sendiri melaksanakannya di rumah. Dengan hanya 10 ekor ayam telur, kita boleh dapat sehingga lapan biji telur setiap hari. Ia menjimatkan, mudah dan lebih sihat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan program itu akan dibincangkan bersama Pengurusan Tertinggi kementerian termasuk Setiausaha Tetap bagi memastikan selari dengan dasar kerajaan serta perancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Jika tiada peruntukan awal, kita akan laksanakan projek perintis menggunakan peruntukan khas Menteri agar rakyat dapat melihat impak secepat mungkin,” katanya.
Dalam masa sama, Jamawi turut memberi penekanan kepada usaha mempelbagaikan kegiatan ekonomi di peringkat jabatan dan rakyat, termasuk memperkasakan pusat-pusat semaian benih kerajaan bagi memastikan akses kepada benih berkualiti pada harga lebih rendah.
“Saya pernah menjadi warga Jabatan Pertanian, jadi saya memahami apa yang berlaku di bawah. Saya yakin tidak akan ada rakyat yang tertinggal kerana mereka dahagakan bantuan, sumbangan, idea dan tunjuk ajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmennya untuk meneruskan usaha mendidik masyarakat luar bandar mengenai pertanian melalui platform digital seperti yang dilakukannya sebelum ini sebagai “influencer pertanian”.






