KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan insiden mendatangkan kecederaan membabitkan seorang pelancong wanita warga China di pusat bandar, pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7.00 malam pada 8 Disember daripada mangsa berusia 31 tahun, yang mengalami kecederaan selepas terkena satu objek dipercayai dilempar dari sebuah kenderaan bergerak.
“Kejadian berlaku di Jalan Kota Kinabalu Lama 2 berhampiran bangunan Public Bank ketika mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya. Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesan lebam pada beberapa bahagian badan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Sehubungan itu katanya, polis meminta kerjasama orang ramai yang berada di kawasan berkenaan antara jam 6.45 hingga 7.15 malam pada tarikh kejadian, khususnya individu yang memiliki rakaman kamera papan pemuka (dashcam), untuk tampil membantu siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Damian Frederick Frederick Devi di talian 017-6561513 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208.





