KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Mahasiswa Borneo (GMB) hari ini mendesak agar wakil rakyat Kunak memberikan penjelasan kepada umum mengenai ketulenan kelayakan akademik PhD yang didakwa dimilikinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah pada Isnin. Pelantikan ini kembali mencetuskan perhatian umum terhadap isu kelayakan akademiknya yang telah dipersoalkan sejak sebelum PRN-17.

Menurut GMB, kontroversi mengenai status PhD Anil telah menjadi perbualan serius dalam kalangan masyarakat tempatan sejak beberapa bulan lalu. Justeru, GMB menegaskan bahawa penjelasan terbuka amat penting bagi merungkai keraguan yang semakin meningkat.
Juru cakap Gerakan Mahasiswa Borneo (GMB), Abdullah Ahmad, menggesa supaya Anil Sandhu tampil memberikan penjelasan segera berhubung ketulenan kelayakan akademiknya. Beliau menegaskan bahawa portfolio pembangunan belia dan sukan memerlukan pemimpin yang benar-benar berintegriti, telus dan bebas daripada sebarang kontroversi akademik.
“Belia Sabah memerlukan role model yang boleh dipercayai. Jika seorang pemimpin diberikan amanah membangunkan generasi muda, kelayakan akademiknya mesti sah, jelas dan tidak menimbulkan keraguan,” katanya.
Carian maklumat rasmi mendapati bahawa sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada media arus perdana atau institusi pengajian tinggi mengenai kewujudan PhD yang didakwa dimiliki oleh Anil Sandhu.

Sebaliknya, laporan rasmi Bernama hanya mengesahkan bahawa beliau menerima Ijazah Sarjana (Professional Master’s Degree) daripada UTMSPACE, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada November 2025.
Bernama turut melaporkan bahawa beliau menamatkan pengajian Master dalam Pengajian Politik, namun tidak terdapat rekod rasmi mengenai PhD beliau daripada mana-mana universiti yang diiktiraf setakat ini.
GMB turut mendesak agar Anil Sandhu mendedahkan transkrip penuh PhD yang didakwa dimilikinya, termasuk nama universiti, bidang pengajian, bukti pendaftaran, rekod akademik lengkap dan tahun penyelidikan. Menurut GMB, pendedahan transkrip adalah cara paling telus dan langsung untuk membuktikan ketulenan gelaran tersebut.
“Jika PhD itu sah, mendedahkan transkrip bukan isu. Itu adalah amalan biasa bagi sesiapa yang benar-benar bergelar ‘Dr’ secara akademik,” tegas Abdullah Ahmad.
GMB menegaskan bahawa isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin kerajaan, khususnya pemimpin yang bertanggungjawab dalam pembangunan belia di Sabah.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada Anil Sandhu dalam media arus perdana mengenai status sebenar PhD atau transkrip akademiknya. GMB menyeru agar penjelasan dibuat segera untuk mengelakkan spekulasi dan memastikan integriti pentadbiran negeri terus terpelihara.






