ANKARA, TURKIYE – Parlimen Turkiye pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa mengeluarkan produk Coca-Cola dan Nestle daripada menu restoran parlimen berhubung dakwaan sokongan syarikat itu terhadap Israel dalam perang berterusan dengan pejuang Hamas.
“Telah diputuskan bahawa produk syarikat yang menyokong Israel tidak akan dijual di restoran, kafeteria dan rumah teh di kampus parlimen,” katanya dalam kenyataan rasmi Parlimen Turkiye.
Speaker Parlimen, Numan Kurtulmus, membuat keputusan itu tetapi kenyataan itu tidak mengenal pasti syarikat.
Walau bagaimanapun, seseorang yang biasa dengan perkembangan itu memberitahu agensi berita Reuters bahawa minuman Coca-Cola dan kopi segera Nestle adalah satu-satunya jenama yang dialih keluar. Keputusan itu juga diambil atas permintaan orang ramai.
Di media sosial, aktivis telah menyeru orang ramai memboikot barangan Israel dan syarikat Barat yang menyokong serangan ke atas Gaza.
Kerajaan Turkiye telah mengecam keras pengeboman Israel ke atas Gaza dan sokongan Barat terhadap Baitulmaqdis.
Sementara itu, perdagangan antara Turkiye dan Israel telah merosot sebanyak separuh sejak permulaan perang, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut menteri perdagangan Turkiye
Turkiye berkata ia telah memanggil semula dutanya ke Israel untuk rundingan berhubung pengeboman berterusan Israel terhadap orang awam di Gaza dan keadaan kemanusiaan yang semakin merosot.
Bulan lalu, diplomat Israel telah meninggalkan Turkiye atas sebab keselamatan selepas banyak demonstrasi pro-Palestin meletus di seluruh negara.
Kementerian Luar Negerinya kemudian berkata ia telah memanggil semula diplomat untuk menilai keadaan hubungan dua hala.
Israel telah mengebom Gaza sejak serangan Hamas di selatan Israel sebulan lalu, apabila pejuangnya membunuh 1,400 orang dan mengambil 240 tebusan.
Pegawai kesihatan Gaza berkata, serangan Israel telah membunuh lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk kira-kira 4,100 kanak-kanak.
Beratus ribu orang Turkiye telah berarak untuk membantah operasi Israel ke Gaza sejak sebulan lalu termasuk di media sosial.