KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat lelaki tempatan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu kejadian di Telipok, di sini, pada 15 Disember lalu, susulan penularan video tular berkaitan kes pukul pelajar sebuah madrasah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.45 petang ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas untuk menangkap dan membawa seorang suspek bagi membantu siasatan kes kecederaan serta penderaan kanak-kanak yang telah dilaporkan sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati beberapa individu bertindak menghalang kenderaan polis, mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan berkenaan sehingga menjejaskan tugas polis.
“Susulan kejadian itu, polis telah menahan empat lelaki tempatan berumur antara 30 hingga 50 tahun serta merampas sebatang besi golf yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Polis juga akan memohon reman ke atas kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, selain menjalankan ujian saringan air kencing dan merakam percakapan saksi-saksi kejadian.
Dalam pada itu, ACP Kasim menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak mengikut perasaan, sebaliknya bertenang dan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.
“Sebarang ketidakpuasan hati hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang demi menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.






