PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag Ditetapkan 24 Januari 2026 – SPR

PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag Ditetapkan 24 Januari 2026 – SPR

0
SHARE

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah pada 24 Januari 2026 bagi mengisi kekosongan luar jangka susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025, manakala kekosongan kerusi DUN Lamag dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025.

Beliau berkata, SPR memutuskan untuk mengadakan PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan selepas Mesyuarat Khas yang diadakan hari ini.

Tarikh writ pilihan raya ditetapkan pada 16 Disember 2025, hari penamaan calon pada 10 Januari 2026 dan hari mengundi awal pada 20 Januari 2026.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 10 Januari 2026 sehingga jam 11.59 malam, 23 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, urusan permohonan undi pos bagi semua kategori akan dibuka bermula 16 Disember 2025 dan dilaksanakan secara dalam talian. Tarikh tutup permohonan ditetapkan pada 8 Januari 2026 bagi Kategori 1A, manakala Kategori 1B dan 1C pada 6 Januari 2026.

Beliau berkata, Dewan Sri Lamag, Kinabatangan ditetapkan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK berkenaan.

SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu lapan Penolong Pegawai Pengurus serta menubuhkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya.

Menurut Ramlan, seramai 1,106 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK membabitkan 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal. Peruntukan dianggarkan sebanyak RM10 juta diperlukan bagi melaksanakan kedua-dua PRK itu.

Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis.

Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mulai 5 Januari 2026 melalui portal MySPR Semak, aplikasi MySPR atau talian hotline SPR.

Dalam pada itu, SPR menggalakkan bakal calon membuat semakan awal borang penamaan dan pembayaran deposit lebih awal, selain mempelawa agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya.