KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bertingkat khususnya di kawasan separa bandar bagi mengatasi kekangan tapak tanah akibat kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
Beliau berkata, meskipun menyambut baik pengumuman Belanjawan Sabah 2026 yang meningkatkan kuota Rumah Mesra SMJ daripada 20 kepada 40 dan kini 50 unit bagi setiap kawasan DUN, pendekatan lebih strategik perlu dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memiliki kediaman sendiri.
“Di kawasan separa bandar seperti Sepanggar, isu utama bukan sekadar bilangan unit, tetapi keterbatasan tanah. Pembangunan Rumah SMJ bertingkat mampu menempatkan lebih banyak unit dalam satu tapak, sekali gus lebih cekap dari segi guna tanah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini.
Menurut Razali, pembangunan rumah bertingkat bukan sahaja mampu menggandakan jumlah unit perumahan, malah dapat memberi manfaat kepada golongan belia dan pasangan muda yang masih belum berkemampuan memiliki rumah sendiri.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri menjalankan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan Rumah SMJ atas air bagi komuniti penempatan air, supaya reka bentuk dan konsep perumahan yang dibangunkan benar-benar menepati realiti setempat serta keperluan rakyat.
Dalam perbahasan sama, Razali turut menyentuh keperluan memperkasa Pusat Autisme Sabah (PAUS) yang menerima peruntukan RM670,000 dalam Belanjawan 2026, dengan mencadangkan agar pusat itu dinaik taraf menjadi bukan sekadar pusat latihan, tetapi berfungsi sebagai ‘rumah kedua’ yang selamat dan terurus bagi anak-anak autisme, termasuk selepas ketiadaan ibu bapa.
Beliau juga mencadangkan pewujudan biasiswa khas serta dana latihan kemahiran meliputi latihan vokasional dan pembangunan kemahiran insaniah bagi membantu golongan autisme berdikari mengikut keupayaan masing-masing.
Razali seterusnya menggesa penubuhan One Stop Centre (OSC) Digital yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi menyalurkan maklumat bantuan, semakan kelayakan serta permohonan secara dalam talian bagi memastikan keadilan akses kepada golongan sasar.
Menyentuh soal belia, beliau menegaskan bahawa pembangunan belia perlu diperkasa secara lebih menyeluruh dan berfokus, merangkumi peluang pekerjaan, keusahawanan, latihan kemahiran, ekonomi kreatif serta pembentukan kepimpinan dan jati diri.
Menurutnya, peruntukan RM16.75 juta bagi pembangunan modal insan dan geran persatuan belia dalam Belanjawan 2026 adalah langkah positif, namun wajar dikaji semula agar selari dengan keperluan sebenar kira-kira 2.2 juta belia di Sabah, yang perlu dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang negeri.






