KADAMAIAN: Sebanyak 148 buah gereja di seluruh kawasan Kadamaian menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM148,000 daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2026.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sumbangan itu bertujuan membantu persiapan gereja-gereja dalam menyemarakkan sambutan perayaan keagamaan sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Menurutnya, setiap gereja menerima sumbangan sebanyak RM1,000 yang disalurkan lebih awal bagi memastikan persiapan sambutan Krismas dan Tahun Baharu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
“Sebagai ADUN Kadamaian, saya telah memperkenalkan bantuan sumbangan ini sejak beberapa tahun lalu kepada badan-badan keagamaan di kawasan ini bagi membantu persiapan sambutan keagamaan masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, bagi gereja-gereja di Kadamaian, setiap institusi keagamaan itu menerima jumlah keseluruhan RM2,000 setahun, iaitu RM1,000 bagi sambutan Paskah dan RM1,000 lagi bagi sambutan Krismas atau Tahun Baharu yang disampaikan sebelum tarikh perayaan berkenaan.
Katanya, bantuan serupa turut disalurkan kepada masjid dan surau di Kadamaian yang masing-masing menerima RM2,000 setahun, merangkumi RM1,000 bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan RM1,000 lagi bagi sambutan Hari Raya Aidiladha.
Ewon berkata, sumbangan berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya bertujuan memupuk rasa kekitaan, kebanggaan serta kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Kadamaian.
“Saya mahu melihat rakyat Kadamaian mempunyai sense of belonging yang lebih kukuh, dengan adanya penghormatan tinggi terhadap acara-acara keagamaan yang disokong melalui peruntukan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian,” katanya.
Beliau turut mengajak seluruh masyarakat di Kadamaian untuk terus memantapkan silaturahim, semangat perpaduan, keharmonian serta kerjasama kejiranan, sambil menegaskan bahawa keunikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya rakyat Sabah merupakan kekuatan utama agenda Sabah First yang wajar dipertahankan.






