KUALA LUMPUR: Anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Naim Kurniawan Moktar diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Makan Malam BN di Hotel Premiera, di sini, dan dikongsikan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Menurut Ahmad Maslan, pemilihan Naim Kurniawan diyakini diterima baik oleh rakyat di kawasan Parlimen Kinabatangan.
Ketika dihubungi, Naim Kurniawan berkata, beliau menerima amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan UMNO dan BN untuk menyambung legasi parti itu di Parlimen Kinabatangan.
“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab walaupun saya sedar ia bukan satu tugas mudah memandangkan keluasan kawasan Parlimen Kinabatangan yang setara dengan sebuah negeri seperti Pahang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penerimaan daripada pimpinan UMNO serta ahli-ahli parti di peringkat akar umbi amat menggalakkan dan memberi sokongan penuh kepadanya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Saya bersedia menggalas amanah ini dengan sebaiknya agar suara rakyat Kinabatangan terus terbela,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag diadakan susulan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Pengerusi BN Sabah, pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.
Allahyarham Bung Moktar sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, 29 November lalu.






