Putus Pergelangan Tangan, Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cat Rumah di...

Putus Pergelangan Tangan, Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cat Rumah di Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja mengecat rumah di Lot 21, Fasa 3, Kampung Likas, di sini, pada pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.03 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk terbakar dan putus pergelangan tangan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, TPgB Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum 10 anggota bersama jentera FRT dan EMRS digerakkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki terkena renjatan elektrik semasa menjalankan kerja mengecat rumah. Mangsa mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, operasi turut melibatkan kerjasama Sabah Electricity, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kawasan kejadian selamat.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika melakukan kerja-kerja berhampiran sumber elektrik, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.