KOTA KINABALU: Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) melantik Mohd Lan Muslim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu dengan fokus memperkukuh pelaksanaan dan impak ekonomi sektor kreatif di Sabah.
Mohd Lan berkata keutamaan awal beliau adalah menjadikan SCENIC sebagai pemudah cara yang praktikal kepada agenda ekonomi kreatif dan inovasi, selaras dengan mandat Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (MESTIS).
Menurutnya, walaupun SCENIC telah menyokong ekonomi kreatif Sabah sejak 2020, ekosistem tersebut masih berada pada peringkat awal berbanding negeri atau negara yang lebih matang, sekali gus membuka ruang luas untuk pertumbuhan yang lebih tersusun dan berfokus.
“Dengan mengatur ekosistem dari awal secara terancang, kreativiti dan inovasi dapat diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi sebenar yang melibatkan lebih ramai pihak,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak Ekonomi Kreatif Sabah pertama pada April lalu sebagai pencapaian penting dalam menyatukan pemain industri, agensi kerajaan dan institusi pendidikan bagi memperkukuh kerjasama serta menonjolkan potensi kreatif Sabah.
Selepas tamat Pelan Lima Tahun SCENIC (2020–2025), Mohd Lan berkata tumpuan kini diberikan kepada pengukuhan pelaksanaan di peringkat lapangan serta pembentukan hala tuju strategik jangka panjang untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Inisiatif yang menjana peluang pekerjaan, pendapatan dan pembangunan perusahaan akan diberi keutamaan.
Di peringkat nasional, beliau berkata industri kreatif Malaysia semakin dipacu oleh industri dan pasaran, dengan penekanan terhadap pemilikan Harta Intelek (IP), pertumbuhan perusahaan dan profesionalisme.
SCENIC akan terus berperanan sebagai platform penghubung antara pemain industri kreatif, dewan perniagaan, institusi pendidikan serta rakan strategik di peringkat negeri, persekutuan dan antarabangsa, dengan perhatian khusus kepada belia, penggiat awal kerjaya, pekerja bebas, pengusaha kecil dan komuniti luar bandar.
“Saya berharap ekonomi kreatif bersama inovasi dan teknologi dapat diiktiraf sebagai satu tonggak penting dalam landskap ekonomi Sabah,” katanya.






