Penduduk Rampayan Desak Projek Tebatan Banjir Dipercepat

Penduduk Rampayan Desak Projek Tebatan Banjir Dipercepat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Rampayan Menggatal mendesak supaya Projek Tebatan Banjir Rampayan dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir kilat dan air bertakung yang berulang setiap kali hujan lebat.

Wakil penduduk, Gundohing Aris Ramlie, berkata masalah banjir di kampung itu telah lama berlarutan dan menjejaskan kehidupan harian penduduk, khususnya ketika musim hujan.

“Setiap kali hujan lebat berpanjangan, banyak rumah di Kampung Rampayan dinaiki air. Kami sudah berkali-kali memohon kerja pengorekan parit dan sungai dipercepatkan, tetapi sehingga kini tiada perubahan ketara.

“Kami harap kerajaan benar-benar membantu, bukan sekadar janji,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aris menyambut baik komitmen Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, yang memaklumkan usaha menangani banjir sedang dilaksanakan menerusi Projek Tebatan Banjir Rampayan yang kini dalam pembinaan.

Mustapha turut memaklumkan bahawa peruntukan bagi Fasa 2 projek tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai sebahagian penyelesaian jangka sederhana dan panjang bagi masalah banjir di kawasan itu.