Allahyarham Bung Moktar Bebas Dari Tuduhan Rasuah RM2.8 Juta

Allahyarham Bung Moktar Bebas Dari Tuduhan Rasuah RM2.8 Juta

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham.

Menurut laporan TV3, keputusan itu dibuat berikutan kematian Bung Moktar, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA.

Allahyarham sebelum ini berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual.

Bagaimanapun, mahkamah menolak representasi yang dikemukakan balu Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, untuk menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan rasuah yang dihadapinya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan terhadap Zizie diteruskan pada 5, 6 dan 12 Mac depan.

Bung Moktar, 66, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Disember lalu.

Keputusan hari ini sekali gus menamatkan prosiding terhadap Allahyarham, manakala kes membabitkan Zizie Izette akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.