Pusat Latihan dan Institusi Pendidikan Golongan OKU Penglihatan Lancar Surat Rayuan Mohon...

Pusat Latihan dan Institusi Pendidikan Golongan OKU Penglihatan Lancar Surat Rayuan Mohon Dana

0
SHARE

SANDAKAN: Taman Cahaya Sandakan, yang berperanan sebagai pusat latihan dan institusi pendidikan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, melancarkan program pelancaran surat rayuan bagi memohon dana tambahan bagi meneruskan operasinya.

Difahamkan, pertubuhan berkenaan sebelum ini menerima bantuan kewangan, namun jumlah dana yang diperoleh masih tidak mencukupi untuk menampung pelaksanaan program latihan, kebajikan dan pembangunan kemahiran penghuni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Tun Musa, merakamkan tahniah kepada pengurusan Taman Cahaya Sandakan atas komitmen berterusan dalam memperjuangkan kebajikan, pembangunan kemahiran serta kesejahteraan ahli-ahlinya.

Menurut beliau, usaha menyediakan latihan kemahiran, sokongan kebajikan dan aktiviti sosial amat penting bagi membantu golongan OKU penglihatan menjalani kehidupan yang lebih berdikari dan bermaruah.

“Pelancaran surat rayuan atau postal appeal ini merupakan satu inisiatif yang baik dan berkesan bagi mengajak lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan.

“Saya percaya dengan sokongan masyarakat, sektor swasta serta individu yang prihatin, pertubuhan ini akan dapat meneruskan program-program yang dirancang demi manfaat penghuni OKU penglihatan,” katanya.

Hazem turut berharap agar lebih banyak pihak tampil berganding bahu sama ada melalui sumbangan kewangan, kepakaran mahupun penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan OKU penglihatan.

“Marilah kita bersama-sama membina sebuah masyarakat yang inklusif, penyayang dan tidak meminggirkan golongan OKU penglihatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyalurkan sumbangan dana berjumlah RM1,000 kepada Taman Cahaya Sandakan sebagai tanda sokongan terhadap usaha pertubuhan berkenaan.