KOTA KINABALU: Seramai 39 peserta menerima sijil selepas menamatkan Program Peneraju Borneo: Data Strategist pada Majlis Graduasi Peneraju Borneo Fasa 2 dan Fasa 3 yang berlangsung kelmarin (Isnin) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, yang menegaskan pembangunan negeri kini bergantung kepada keupayaan rakyat menguasai kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat, selain pembangunan fizikal.
Beliau berkata penggunaan data yang tepat dan berintegriti penting bagi menyokong perancangan serta pembuatan dasar yang lebih berkesan, khususnya di peringkat akar umbi, sekali gus membantu kerajaan melaksanakan dasar yang lebih tepat sasaran dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Dalam hal ini, peranan strategis data komuniti dilihat sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan data lapangan mencerminkan keadaan sebenar.
James turut memaklumkan kementeriannya terus memberi keutamaan kepada pendigitalan pendidikan, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, melalui peningkatan akses teknologi, pembelajaran digital dan penggunaan data pendidikan bagi merapatkan jurang bandar dan luar bandar.
Selain itu, pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kekal menjadi fokus, termasuk melalui inisiatif seperti penubuhan pusat SainsXplor di Tawau, dengan perancangan untuk memperluaskan program sama ke kawasan pedalaman.
Beliau juga berkata kementerian telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia supaya kandungan sejarah Sabah disusun dan disepadukan dengan lebih sistematik dalam buku teks sekolah bagi memperkukuh jati diri serta kefahaman sejarah dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata Sabah masih mencatat kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia iaitu sekitar 17.7 peratus walaupun mempunyai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi RM80 bilion, menunjukkan keperluan kepada dasar yang lebih berasaskan data dan bersasar.
Beliau berkata data strategik penting bagi mengelakkan pertindihan program, memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dan memaksimumkan impak penggunaan sumber awam.
Program tersebut merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Peneraju dan Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah bagi melahirkan tenaga profesional dalam analisis dan strategi data yang mampu menyokong perancangan pembangunan negeri.






