Jamawi Lawat APCC Tenom, Umum Perancangan Kilang Pemprosesan Hasil Pertanian Fasa 2

Jamawi Lawat APCC Tenom, Umum Perancangan Kilang Pemprosesan Hasil Pertanian Fasa 2

0
SHARE

TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian (APCC) Tenom yang diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD), di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, projek APCC Tenom Fasa 1 yang kini telah mencapai tahap siap kira-kira 85 peratus dijangka memberi manfaat besar kepada pekebun dan petani di kawasan Tenom, Kemabong dan Melalap dalam memasarkan hasil pertanian mereka dengan lebih tersusun dan efisien.

Dalam lawatan itu, Jamawi turut mengumumkan perancangan pelaksanaan Fasa 2 projek berkenaan, iaitu pembinaan pusat pemprosesan hasil pertanian di tapak bersebelahan bangunan sedia ada yang dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Menurut beliau, pusat pemprosesan berkenaan akan memberi tumpuan kepada pemprosesan buah-buahan dan hasil pertanian yang kurang berkualiti dari segi luaran untuk dijadikan produk makanan kering serta produk bernilai tambah, selain mengurus lebihan hasil pertanian bagi mengelakkan pembaziran.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor atas kelulusan peruntukan bagi menjayakan projek ini, yang selari dengan usaha kerajaan memperkasa sektor pertanian luar bandar,” katanya.

Jamawi turut memaklumkan beliau diberi taklimat mengenai operasi dan kemajuan semasa APCC oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) APCC, Andree Funk, serta mengalu-alukan input daripada pemain industri tempatan termasuk Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika berkaitan keperluan mesin dan peralatan bagi kegunaan bersama.

“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan sekurang-kurangnya satu pusat pengumpulan diwujudkan di setiap kawasan Parlimen demi kemudahan masyarakat luar bandar,” katanya, sambil memaklumkan bahawa ketika ini KPD menguruskan 14 pusat pengumpulan, manakala Jabatan Pertanian mengendalikan lebih 10 pusat pengumpulan lain di seluruh negeri.