BEAUFORT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui meninggal dunia di sebuah bilik gelanggang futsal di Membakut, malam Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng, memaklumkan bahawa mangsa dilaporkan hilang selama dua jam selepas keluar bersama keluarganya ke sebuah gereja berdekatan.
“Bimbang dengan kehilangan tersebut, keluarga mangsa mencari di sekitar kawasan dan menemui bilik pejabat gelanggang futsal tersebut dalam keadaan terkunci.
“Setelah berjaya membuka pintu, mereka menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian mangsa manakala pihak polis telah mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.
Bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian.
Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini sementara menunggu hasil siasatan lanjut.