Pendidikan Percuma Untuk IPT dan Sekolah Milik Kerajaan Antara Fokus Halatuju SMJ...

Pendidikan Percuma Untuk IPT dan Sekolah Milik Kerajaan Antara Fokus Halatuju SMJ 2.0

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usaha merintis pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi (IPT) milik kerajaan negeri serta sekolah-sekolah di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri menjadi antara keutamaan yang akan diperjuangkan dalam dokumen Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim berkata, inisiatif pendidikan percuma itu dilihat paling dekat dengan aspirasi golongan muda, khususnya mahasiswa dan pelajar, selaras dengan hala tuju baharu pembangunan negeri yang akan dilancarkan bermula esok.

Menurut beliau, antara cadangan awal yang akan diketengahkan ialah pendidikan percuma kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT milik kerajaan negeri seperti Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Tingkatan Enam Yayasan Sabah (KTYS).

“Selain IPT, Pemuda Gagasan Rakyat turut mencadangkan agar sekolah-sekolah milik kerajaan negeri termasuk sekolah agama dan sekolah menengah agama diberikan subsidi atau pendidikan percuma untuk dipertimbangkan sebagai dasar rasmi kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, hari ini.

Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, cadangan berkenaan akan dibawa bersama pandangan mahasiswa dan belia agar dasar pendidikan yang digariskan dalam SMJ 2.0 benar-benar bersifat inklusif dan berorientasikan masa depan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pemuda Gagasan Rakyat akan melaksanakan program Simposium SMJ sebagai platform menghimpunkan idea, cadangan dan pandangan daripada pemimpin muda serta komponen parti dalam kerajaan negeri bagi memperkukuh pelaksanaan dasar-dasar SMJ 2.0.

Katanya, pendekatan itu diharap dapat memperkasa kefahaman terhadap dasar kerajaan negeri, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, infrastruktur dan penerokaan ekonomi biru, sekali gus memastikan SMJ 2.0 memberi manfaat nyata kepada rakyat Sabah, khususnya generasi muda.