Lakukan ‘Gencatan Politik’ Selepas PRN, Jangan Ingkar Titah Agong – Peter

Lakukan ‘Gencatan Politik’ Selepas PRN, Jangan Ingkar Titah Agong – Peter

0
SHARE
Presiden KDM, Datuk Peter Anthony...

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyeru pihak supaya melakukan ‘gencatan politik’ selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Katanya, ia bagi menyelamatkan negara daripada kemelut politik yang tidak berkesudahan, selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong selain memberi ruang dan peluang kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurus dan mentadbir negara ini.

“Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar desas-desus kononnya akan berlaku perubahan kerajaan Persekutuan selepas PRN di enam negeri, di Semenanjung.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia dilihat mengingkari titah YDP Agong bertitah supaya mengekalkan pentadbiran kerajaan untuk kestabilan negara.

“Sejak 2020, keadaan politik di negara kita sering bergolak, bertukar kepimpinan dan ini telah membantutkan usaha kita memulihkan ekonomi kerana ketidakyakinan pelbagai pihak terhadap negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peter berkata, tidak kira apapun keputusan PRN di enam negeri nanti, adalah penting untuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dikekalkan.

Katanya, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), begitu banyak inisiatif yang telah dirancang dan dilaksana demi kebaikan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan kerana saya melihat negara ini semakin ke arah pemulihan khususnya dari sudut ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Perancangan yang telah dicetus termasuklah Ekonomi Madani juga perlu diteruskan, saya yakin kerangka yang dilancarkan Perdana Menteri itu akan membawa ekonomi negara ini ke satu tahap lebih tinggi seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Peter menyeru kepada semua pengundi yang berasal dari Sabah yang kini telah menetap dan mengundi di seluruh kawasan Selangor agar menyokong penuh semua calon-calon Kerajaan Perpaduan.

“Malam tadi saya bersama-sama dengan Timbalan Presiden Parti KDM, Naib Presiden dan pimpinan KDM yang lain turut serta dalam Ceramah Perdana Perpaduan di DUN Gombak Setia.

“Saya juga merupakan salah seorang penceramah dalam majlis itu, di kesempatan itu dalam ucapan, saya memohon agar semua pengundi yang berasal dari Sabah yang kini telah menetap dan mengundi di seluruh kawasan Selangor agar menyokong penuh semua calon-calon Kerajaan Perpaduan.

“Bersama kita doakan agar proses PRN di enam buah negeri ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segalanya,” katanya.

Turut hadir dalam ceramah itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Calon Barisan Nasional (BN) DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain serta pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan.