JAKARTA: Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa kepimpinan berteraskan karakter menjadi asas utama membina kepercayaan dalam era digital yang serba pantas.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan mengenai kepimpinan berasaskan karakter kepada pelajar di Tanri Abeng University pada Khamis.
Menurutnya, walaupun teknologi terus mengubah masyarakat dengan cepat, asas kepimpinan tetap sama iaitu kepercayaan.
“Dalam dunia yang ditentukan oleh kepantasan dan pendedahan maklumat, kuasa sahaja tidak mencukupi. Kepercayaan ialah mata wang kepimpinan yang tidak boleh dirunding,” katanya.
Salleh turut menekankan empat tonggak kebolehpercayaan iaitu keselarasan antara kata dan tindakan, konsistensi prinsip, integriti dalam membuat keputusan serta kepimpinan berasaskan nilai.
Beliau turut mengingatkan tentang cabaran etika dalam era digital termasuk manipulasi maklumat, tekanan media sosial dan kecenderungan mengejar populariti jangka pendek.
“Teknologi bersifat neutral. Karakterlah yang menentukan sama ada ia menjadi alat kemajuan atau perpecahan,” katanya.
Turut hadir ialah Rektor Suyanto serta barisan pengurusan universiti berkenaan.






