Tiga Tahfiz Jadi Perintis Projek Kebun Dapur, Fokus Kemahiran Pertanian Pelajar

Tiga Tahfiz Jadi Perintis Projek Kebun Dapur, Fokus Kemahiran Pertanian Pelajar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga institusi tahfiz di Sabah dipilih sebagai perintis pelaksanaan projek kebun dapur tahfiz yang bertujuan memberi pendedahan kemahiran pertanian kepada pelajar di samping pengajian hafazan al-Quran.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, projek rintis itu melibatkan tahfiz di Kuala Penyu, Ranau dan Kota Belud dengan keluasan keseluruhan kira-kira 14 ekar.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan permulaan kepada pelaksanaan Modul Tahfiz Pertanian yang dijangka diperluaskan ke lebih banyak institusi tahfiz di seluruh negeri pada masa akan datang.

“Buat permulaan kita laksanakan projek perintis di tiga kawasan iaitu Kuala Penyu, Ranau dan Kota Belud. Ini merupakan pilot projek dan kita akan melihat pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke lebih banyak tahfiz di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Modul Tahfiz Pertanian sempena Majlis Berbuka Puasa, Diskusi Kitab dan Tahlil Perdana di sini, semalam.

Ruslan berkata, projek kebun dapur itu memberi peluang kepada pelajar tahfiz memperoleh dua kemahiran iaitu dalam bidang hafazan al-Quran dan juga pertanian.

“Melalui modul ini, pelajar tahfiz bukan sahaja mempelajari ilmu agama tetapi turut didedahkan dengan kemahiran pertanian yang boleh membantu mereka berdikari pada masa depan,” katanya.

Katanya, projek di Kuala Penyu, khususnya di kawasan Binsuluk, memberi fokus kepada tanaman kelapa pandan dan mangga susu yang mempunyai permintaan tinggi di Sabah.

Menurutnya, negeri ini mengimport kira-kira 10 tan mangga susu setiap bulan dari Vietnam bagi memenuhi permintaan tempatan, sekali gus menunjukkan potensi besar untuk diusahakan secara komersial oleh petani tempatan.

Sementara itu, projek di Ranau memberi tumpuan kepada tanaman mangga dan rambutan serta potensi tanaman cendawan khususnya di kawasan berhampiran Kundasang.

Di Kota Belud pula, projek tersebut melibatkan tanaman durian termasuk varieti premium serta penternakan ikan di atas tanah wakaf seluas lima ekar.

Ruslan berkata, selain kebun dapur, sekolah tahfiz dan sekolah agama yang mempunyai kawasan sesuai turut digalakkan memohon pembinaan greenhouse bagi melaksanakan projek pertanian moden seperti hidroponik.

Menurut beliau, kos pembinaan sebuah greenhouse dianggarkan antara RM300,000 hingga RM500,000 bergantung kepada keluasan dan teknologi yang digunakan.

“Kita akan membantu membawa permohonan tersebut ke peringkat Persekutuan sekiranya ada sekolah tahfiz atau sekolah agama yang berminat untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Beliau menambah, jika projek perintis itu menunjukkan hasil positif, lebih banyak institusi tahfiz di Sabah akan digalakkan untuk melaksanakan projek kebun dapur dan pertanian moden pada masa hadapan.