KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) mengedarkan 1,800 pek makanan kepada orang ramai di 21 lokasi sekitar bandar ini menerusi Program Street Sungkai dan Street Sahur 2026 pada Sabtu.
Program yang dianjurkan melalui Badan Kebajikan Islam kakitangan LKTNS itu diadakan dengan kerjasama SMK Perempuan Likas dan kini memasuki tahun ke-11 penganjurannya.
Aktiviti berlangsung di sekolah berkenaan dengan penglibatan kakitangan, pelajar serta sukarelawan yang bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada orang ramai di sekitar Likas di bawah konsep Street Sungkai.
Selain itu, bakul makanan Ramadan turut disampaikan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan komuniti.
Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R. Joddari berkata, program berkenaan membuktikan bagaimana inisiatif kecil yang dimulakan oleh kakitangan mampu berkembang menjadi tradisi tahunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Program ini menunjukkan bahawa inisiatif kecil yang dimulakan oleh kakitangan mampu berkembang menjadi usaha kebajikan yang berterusan dan memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata program sama akan diteruskan pada waktu malam menerusi aktiviti Street Sahur, dengan kakitangan LKTNS mengagihkan juadah sahur kepada orang ramai di sekitar Kota Kinabalu.
Turut hadir Pengetua SMK Perempuan Likas, Datin Samsiah Almalek.






