PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh berusia 78 tahun itu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan menerima RM200 juta hasil aktiviti haram yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank Bersatu antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda.
Bernama melaporkan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala pembelaan diketuai peguam kanan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pada 7 Oktober tahun lalu, Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Muhyiddin untuk menggugurkan semua pertuduhan terhadapnya.






