Peningkatan Pesakit, Hospital Utama Sabah Perlu Dinaik Taraf

Peningkatan Pesakit, Hospital Utama Sabah Perlu Dinaik Taraf

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hospital Queen Elizabeth I sebagai hospital terbesar di Sabah memerlukan penambahan bangunan dan wad baharu bagi menampung peningkatan jumlah pesakit yang kini mencecah ribuan setiap hari.

Pengarah hospital itu, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis berkata, kemudahan sedia ada semakin tertekan apabila hospital berkenaan menerima lebih 2,000 pesakit luar dan kira-kira 700 pesakit dalam setiap hari.

“Jumlah keseluruhan pesakit hampir 3,000 sehari, tidak termasuk pengunjung yang boleh mencecah sekitar 2,500 orang,” katanya.

Beliau berkata hospital itu mempunyai kira-kira 4,000 kakitangan yang bekerja dalam tiga syif, dengan antara 1,000 hingga 1,500 petugas bertugas bagi setiap syif.

Menurutnya, daripada 24 hospital di Sabah, Hospital Queen Elizabeth I merupakan fasiliti terbesar namun berdepan peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan.

Selain keperluan bangunan dan wad baharu, katanya kapasiti parkir yang hanya sekitar 1,500 ruang juga tidak lagi mencukupi.

Terdahulu, Menteri Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengagihkan 500 pek juadah berbuka puasa berupa sup tomato Maghribi, harira, kepada petugas kesihatan dan pengunjung hospital itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertugas sepanjang Ramadan.

Katanya, inisiatif kementerian itu bertujuan menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan kepada pesakit tanpa mengira waktu.